SEJARAH SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN TELOK KERANG
Sejarah
Kampung Telok Kerang bermula sejak tahun 1864 dengan penghijrahan sekumpulan
tujuh orang penduduk dari Sumatera, Indonesia. Kumpulan ini diketuai oleh Haji
Ibrahim. Haji Ibrahim telah memilih kawasan satu kilometer dari telok untuk
dijadikan kawasan penempatan yang baru. Beliau menamakan kawasan itu dengan
nama 'Kampung Lama'. Di kampung itulah beliau menjadi ketua. Setelah 'Kampung
Lama' dibuka, lebih ramai penduduk tempatan mula berhijrah ke kawasan ini.
Penubuhan
Sekolah Menengah Kebangsaan Telok Kerang bermula apabila terdapat pertambahan
penduduk yang pesat di sekitar Kampung Telok Kerang terutamanya pada kala zaman
kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. Apabila penduduk bertambah, pendidikan
menjadi salah satu yang amat dikehendaki oleh penduduk. Kebanyakan sekolah
menengah pada masa itu terletak di kawasan bandar Pontian. Keadaan ini
menyulitkan penduduk di sekitar kampung ini menghantar anak-anak mereka ke
sekolah menengah. Salah satu daripada langkah kerajaan ialah menubuhkan
sekolah-sekolah menengah di kawasan luar bandar.
Sekolah
Menengah Kebangsaan Telok Kerang diasaskan
oleh
penghulu Mukim Rimba Terjun pada masa itu iaitu Encik Ahmad Bin Abdul Samad.
Tok Penghulu Ahmad adalah anak jati Kampung Telok Kerang. Pada mulanya
dicadangkan supaya sekolah ini dibina di Kampung Rambah iaitu sebuah kampung
yang terletak kira-kira 5 kilometer dari bandar Pontian dan 4 kilometer dari
Kampung Telok Kerang. Namun atas daya usaha Tok Penghulu Ahmad dan beberapa
penduduk Kampung Telok Kerang yang sanggup mengembalikan tanah mereka kepada
kerajaan untuk tujuan membina sekolah, maka sekolah tersebut telah berjaya
dibina di tapaknya pada hari ini. Tapak asal sekolah ini berkeluasan 3.6
hektar.
Murid-murid ini terpaksa menumpang di sekolah Kebangsaan Telok Kerang yang
terletak kira-kira satu kilometer dari sekolah ini
Pada
25 April 1965, satu Lembaga Pengelola Sekolah telah ditubuhkan. Lembaga
Pengelola Sekolah ini dipengerusikan oleh Tuan Haji Yusof bin Haji Dahlan.
Encik Ahmad Bin Mohd Salleh, Encik Loh Hua san (JP), dan En. Karsan bin Haji
Rafie mewakili Menteri Besar. YB Encik Abdullah Bin Sudin, Encik Omar bin
Buntal, dan Tuan Haji Yusof bin haji Dahlan mewakili kerajaan negeri. Manakala
ibu bapa pula diwakili oleh Encik Hamdan bin Rahmat, Encik Ahmad bin Abdul
Samad dan Encik Si'in bin Haji Ismail.
Dalam
penggal persekolahan 1966, jumlah pelajar yang mendaftar telah meningkat. Pada
tahun tersebut sekolah telah menerima seramai 111 orang murid Melayu dan 78
orang murid Cina. Murid-murid ini terpaksa menumpang di Sekolah Rendah Jenis
Kebangsaan Cina Pei Hua yang terletak kira-kira 2 kilometer dari tapak sekolah
hari ini.
Pada
tahun 1967, bilangan murid terus bertambah. Seramai 70 orang murid Melayu telah
memasuki kelas Tingkatan 1. Sementera itu seramai 124 murid daripada pelbagai
keturunan telah memasuki Kelas Peralihan. Oleh kerana bilangan murid terlalu
banyak, mereka terpaksa menumpang di Sekolah Kebangsaan Penerok yang terletak
kira-kira 5 kilometer dari tapak sekolah hari ini. Pada tahun ini juga
keputusan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) kali pertama mencatatkan hanya 37 calon
sahaja yang lulus daripada sejumlah 111 calon yang mengambil peperiksaan
tersebut.
Sekolah
Menengah Kebangsaan Telok Kkerang memainkan peranan untuk memberi peluang
pendidikan menengah kepada anak-anak di beberapa kampung yang berhampiran.
Antara kampung-kampung tersebut ialah kampung Parit Rambai, Kampung Rambah,
Kampung Rimba Terjun, Kampung Belokok, Kampung Parit Sulaiman, Kampung Peradin,
Kampung Penerok, Kampung Parit Wer, Kampung Parit Jerman, Kampung Parit Tasrip,
dan Kampung Sungai Punai. Sekolah-sekolah yang menjadi sekolah sumber ialah
Sekolah Kebangsaan Telok Kerang, Sekolah Kebangsaan Rambah, Sekolah Kebangsaan
Rimba Terjun, Sekolah Kebangsaan Parit Rambai, Sekolah Kebangsaan Parit
Sulaiman, Sekolah Kebangsaan Belokok, Sekolah Kebangsaan Penerok, Sekolah Jenis
Kebangsaan Pei Hua dan Sekolah Jenis Kebangsaan Siew Woon.
Sekolah
Menengah Kebangsaan Telok Kerang mula mendapat kemudahan asas pada tahun 1978.
Pada tahun tersebut, kemudahan bekalan elektrik dan air paip mula dinikmati
oleh murid-murid dan guru-guru. Selain itu, sekolah ini juga melancarkan
program perkembangan struktur seperti membina pondok bacaan dan bangunan baru
seperti bengkel.
Pada
tahun 1999, jumlah murid adalah seramai 670 orang manakala gurunya pula seramai
37 orang. Daripada 670 murid itu, 85 % adalah murid Melayu. Pada tahun ini
(1999) sekolah ini menerima penambahan pembinaan bangunan baru.
Bangunan-bangunan baru itu ialah dua blok bangunan tiga tingkat untuk bilik
guru, bilik darjah dan makmal, satu bangunan setingkat Bengkel Kemahiran Hidup,
satu bangunan setingkat Bengkel Sains Pertanian, tempat letak kereta dan
basikal, dan tangki air gergasi. Selain itu di beberapa kawasan (dataran) telah
di turap dengan aspal. Bangunan-bangunan ini siap pada tahun 2000 dan mula
digunakan pada tahun itu juga.
Pada
masa ini beberapa kemudahan untuk memajukan proses pembelajaran dan pengajaran
telah disediakan di sekolah ini selain daripada bilik-bilik darjah dan makmal.
Diantaranya ialah makmal komputer, bilik muzik, bilik pendidikan khas,
perpustakaan, makmal bahasa, bengkel MPV Landskap dan Nurseri, dan bilik MPV
Katering dan Penyajian. Kemudahan-kemudahan lain juga disediakan seperti bilik
guru, bilik mesyuarat dan astaka di Dataran Nilam.
Pada
tahun 2003 Sekolah Menengah Kebangsaan Telok Kerang telah menawarkan satu mata
pelajaran baru iaitu Mata Pelajaran Vokasional (MPV). MPV di SMK Telok Kerang
terdiri dari dua mata pelajaran iaitu MPV Katering dan Penyajian dan MPV
Landskap dan Nurseri. Kedua-dua MPV ini adalah untuk memberi peluang kepada
murid-murid Tingkatan 4 dan Tingkatan 5 mengambil mata pelajaran alternatif
selain mata pelajaran teras. Pada tahun 2009 sekolah ini menawarkan kemasukan
murid-murid istimewa pendidikan khas di bawah bimbingan dua orang guru dan
seorang pembantu. Pada tahun 2009 juga pihak sekolah menawarkan pendidikan
muzik kepada murid-murid selepas sekolah ini dibekalkan dengan banyak peralatan
muzik.
Sejak
ditubuhkan pada tahun 1965, Sekolah Menengah Kebangsaan Telok Kerang telah
diterajui oleh sembilan orang Guru Besar/Pengetua. Mereka ialah Allahyarham
Encik Hood bin Fadzil (1965 - 1974), Tuan Haji Hashim Bin Kahat (1975 - 1979),
Tuan Haji Baharaldin bin Samian (1980 - 1988), Tuan Haji Embok Ceni bin Haji
Turu (1988 - 1995), Puan Hajjah Halida Binti Baba (1995 -1996), Tuan Haji Mohd
Zini bin Abd. Fatah (1996 - 1999), Encik Hasnan Bin Jaafar (1999 - 2001),
Allahyarham Tuan Haji Mahiyar bin Kasmoin (2001 - 2004), Encik Hasnan Bin
Jaafar (2004 - 2008), Encik Ahmad Khairi Bin Paimin (2008 -2010)dan En. Hamid
Bin Bakar (2010 hingga kini).